Ingin menambah rezeki dgn Program Kebajikan? SILA KLIK

Wednesday, November 26, 2008

Al-Khwarizmi - Ahli Matematik


ABU Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi adalah Bapa Algebra. Tarikh lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui tetapi beliau dikatakan hidup di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada juga yang menyatakan beliau lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850 Masihi.

Lebih dikenali sebagai Al Khawarizmi di kalangan ahli sains dan merupakan seorang ahli sains Islam yang terulung dalam ilmu matematik.Beliau juga merupakan seorang ahli astronomi dan geografi yang terkenal pada zamannya.

Gelaran Al Khawarizmi diberi kepada beliau sempena tempat kelahirannya di Khawarizm yang terletak di selatan Laut Aral.Beliau lahir di sebuah tempat bernama Kath iaitu sebahagian daripada daerah Khawarizm. Kath kini telah lenyap akibat ditenggelami pasir. Kehidupan kanak-kanaknya kurang diketahui tetapi ibu bapanya telah membawanya berhijrah ke Baghdad, Iraq ketika beliau masih kecil.

Khawarizmi merupakan salah seorang ahli matematik yang teragung dan jasanya akan dikenang sampai bila-bila oleh seluruh masyarakat dunia. Beliau sebenarnya merupakan pengasas kepada beberapa cabang dan konsep asas matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu cemerlang dan beliau tidak hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam pembentukan sistematik tetapi juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian analitikal dalam pengembangan garis lurus serta persamaan kuadratik.

Persamaan kuadratik ialah satu persamaan di mana kuasa kedua tanpa kuasa lebih tinggi digunakan bagi yang tidak diketahui (x2 + 2x - 8 = 0).

Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra. Nama Algebra diperoleh daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah. Beliau turut menjelaskan dengan teliti kegunaan sifar - iaitu sistem angka yang dibangunkan oleh orang Arab.

Pada masa yang sama, beliau membangunkan sistem perpuluhan dan dengan itu, keseluruhan sistem nombor angka, algorithm atau algorizm memperoleh nama selepas dibangunkan oleh orang Arab.

Dalam usahanya memperkenalkan sistem angka India (kini dikenali angka Arab), beliau telah membangunkan beberapa prosedur kira-kira termasuk operasi dan pecahan. Sistem angka itu kemudiannya diperkenalkan kali pertama oleh orang Arab kepada Barat yang mana hasil kerjanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah.

Jasa beliau yang lain ialah membangunkan secara terperinci bidang trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan sempadan segitiga yang mengandungi fungsi sine.

Beliau juga menyempurnakan teori geometri yang mewakili muka keratan kon dan membangunkan kalkulus yang mana membantunya menguasai konsep perbezaan.

Beliau juga dilaporkan bekerjasama dalam pengukuran darjah di bawah perintah Mamun al-Rashid yang bertujuan mengukur isipadu dan lilitan bumi.

Pembangunan ilmu kaji bintang atau ilmu falak olehnya mempunyai makna yang cukup besar terhadap kemajuan dalam bidang sains astronomi - yang mana beliau turut menulis buku mengenainya.

Sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi turut cemerlang. Beliau tidak hanya menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya termasuk dalam melakar peta dunia.

Al Khawarizmi merupakan saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830 Masihi iaitu 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Hasil kerjanya yang lain turut meliputi kerja-kerja asal berkaitan dengan jam, alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari serta kaji bintang.

Hasil penemuannya dibukukan dan beberapa bukunya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada awal kurun ke-12.

Sebenarnya, bukunya mengenai kira-kira, Kitab al-Jam'a wal-Tafreeq bil Hisab al-Hindi telah hilang di benua Arab tetapi masih boleh diperoleh dalam buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin.

Bukunya mengenai Algebra iaitu Al-Maqala fi Hisab-al Jabr wa-al-Muqabilah juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada kurun ke-12 dan ia adalah terjemahan yang diperkenalkan dalam dunia sains baru kepada Barat.

Hasil kerjanya dalam ilmu falak turut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah dan kemudian ke dalam bahasa Cina.

Buku geografinya, Kitab Surat-al-Ard bersama-sama peta lakarannya juga telah diterjemahkan. Selain itu, beliau turut menulis kalendar Yahudi, Istikhraj Tarikh al-Yahud.

Beliau juga menulis Kitab al-Tarikh dan buku mengenai alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari dikenali Kitab al-Rukhmat.

Malangnya kedua-dua buku itu telah hilang.Pengaruh Khawarizmi dalam perkembangan ilmu sains khususnya matematik, astronomi dan geografi kini menjadi lakaran sejarah.

Buku-bukunya turut menjadi buku teks di beberapa universiti sehingga kurun ke-16.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin

Mengaut Keuntungan Lumayan Daripada Tuisyen Secara Sambilan/Sepenuh Masa.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP